Pages

Thursday 3 April 2014

Novel Menarik!



Currently addicted with novel-novel sejarah Islam. Saya merupakan seorang yang sangat tak minat sejarah. Asal subjek sejarah je, mesti mengantuk dalam kelas. Asal mengantuk je mesti time subjek sejarah. Sangat x minat. Sebab tu SPM x dpt A Sejarah. Huhu..sian cikgu Sejarah saya. Zaman sekolah dah lama berlalu pergi dan meninggalkan kenangan dalam hidup saya. Tanpa sedar, saya juga telah mencatatkan banyak sejarah dalam kehidupan. Bukan saya sahaja, malah semua orang pun pasti mempunyai sejarah-sejarah tersendiri kan? :) Semua yang berlalu pergi dari hidup kita, semua itu sejarah. Hari semalam merupakan sejarah yang telah kita cipta. Hari ini merupakan sejarah juga untuk hari esok. :) Dan begitulah seterusnyaaa....

Ok, bukan cerita sejarah sebenarnya yang saya nak tekankan. Tapi, mengenai novel-novel sejarah Islam yang saya dah baca. Salah satunya seperti gambar yang kat atas ni. Baru saya sedari, bila sejarah itu diceritakan dalam bentuk cerita atau novel sebegini, ia lebih menarik dan seronok untuk dibaca kerana membayangkan seolah-olah kita turut sama berada dalam suasana dan situasi tertentu. Tahniah buat penulis Abdul Latip Talib yang telah berjaya menulis novel yang mampu membuat anak muda seperti saya berasa ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai sejarah-sejarah Islam. 

This book is highly recommended untuk insan-insan yang xminat sejarah macam saya, tapi berkeinginan untuk menelusuri sejarah-sejarah Islam. :)


Sedikit sinopsis untuk novel ni:


Watak:
  • Sultan Muhammad Al-Fateh: Watak penting di dalam novel sejarah ini. Merupakan waris Sultan Murad yang berjaya membebaskan Kota Konstantinopel daripada tangan-tangan zalim tentera Rom. Sultan muda ini berjaya merealisasikan hadith Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa Kota Konstantinopel akan ditakluki oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik ketika berusia 21 tahun.
  • Syeikh Syamsuddin Al-Wali: Guru yang ditugaskan oleh Sultan Murad untuk mendidik anakandanya, Sultan Muhammad Al-Fateh dengan didikan Islam dengan baik.
  • Urban: Pencipta senjata terhebat pada ketika itu (meriam) yang telah menjadi salah seorang tahanan Maharaja Konstantine kerana tidak mahu memberikan kerjasama bagi menundukkan kekuasaan Empayar Turki Usmaniah.
  • Maharaja Konstantine: Maharaja Rom yang zalim dan mempunyai pasukan tentera yang hebat serta patuh dalam mempertahankan Kota Konstantinopel daripada serangan musuh.
  • Panglima Ardogan: Panglima tentera Rom yang angkuh serta bercita-cita tinggi untuk menggantikan tempat Maharaja Rom.

Buku ini berkisar mengenai biografi seorang sultan muda yang berasal dari Turki. Beliau merupakan salah seorang pemegang tampuk pemerintahan di zaman kegemilangan Empayar Turki Usmaniah.
Sejak kecil lagi beliau telah dididik dengan ilmu agama oleh seorang guru yang cukup hebat di zamannya iaitu Syeikh Syamsuddin al-Wali. Walaupun semasa usianya masih kecil beliau tidak mahu menuntut ilmu agama, namun beliau mula mendalami ilmu tersebut setelah dirotan oleh Syeikh al-Kurani – seorang ulama’ yang terkenal dengan sifatnya yang tegas dan garang.
Beliau membesar menjadi seorang anak muda yang berbakat dalam memimpin pasukan tentera. Ketika beliau berumur 16 tahun, beliau telah mula menggantikan tempat ayahandanya buat seketika ketika Sultan Murad ingin berehat buat sementara waktu di Pulau Magnesia.
Ketika umur beliau meningkat 19 tahun, beliau telah pun memimpin Empayar Turki Usmaniah. Selama dua tahun beliau mengkaji titik kelemahan kota kegemilangan Rom yang terkenal dengan kehebatannya ketika itu iaitu Kota Konstantinople sambil merangka strategi perang bagi menawan kota angkuh tersebut.
Bagi merealisasikan petikan daripada salah satu hadith Nabi, Baginda mula membuat benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri bagi menghalang serangan tentera Rom. Sampai waktunya, mereka mula mengepung Kota Konstantinople bersama semangat waja yang membara. Mereka mengepung kota tersebut berhari-hari lamanya bersama berpucuk-pucuk meriam ciptaan Urban.
Kehadiran tentera kerajaan Turki Usmaniah itu sedikit sebanyak menggentarkan hati Maharaja Konstantine. Namun begitu, Maharaja tersebut tetap tidak mahu tunduk dengan kekuasaan Kerajaan Turki Usmaniah malah Maharaja tersebut turut menyekat kemaraan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh dengan menggunakan rantai besi di Tanduk Emas.
Namun, dengan ilham yang didatangkan oleh Allah kepada Baginda, tentera Turki Usmaniah telah berjaya menguasai perairan kota tersebut walaupun tanpa memotong rantai besi yang menghalang laluan mereka di pelabuhan tersebut.
Melalui semangat dan keazaman yang tinggi, pihak tentera Sultan Muhammad bersama-sama tenteranya telah meluncurkan sebanyak 70 buah kapal melalui laluan darat dan terus berlabuh tepat-tepat berhadapan dengan Kota Konstantinople. Berita tersebut benar-benar mengejutkan Maharaja sehingga beliau sendiri turut berlawan pedang untuk mengalahkan Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri.
Peperangan berakhir setelah Panglima Amir Pasya berjaya memenggal leher Maharaja Konstantine dan Panglima Tentera Rom, Ardogan akibat serangan bertubi-tubi daripada Sultan Muhammad Al-Fateh. Akhirnya, Kota Konstantinople berjaya dibuka oleh tentera Islam dan gereja Aya Sophia pun ditukarkan menjadi sebuah masjid.

"Kota Konstantinopel akan ditakluk oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik", dialog yang sering diulang-ulang dan secara tidak langsung mengingatkan pembaca bahawa kita mesti menjadi rakyat yang baik dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam.
Ramai pemimpin yang berharap agar pada zaman kepimpinan mereka lah Kota Konstantinople akan ditakluk, tetapi usaha mereka tidak berjaya. Kota Konstantinople telah cuba ditakluk sebanyak 12 kali tetapi tidak berjaya. Untuk kali ke-13, ianya berjaya dilakukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh bersama tentera2nya. 
Hadis Nabi itu telah terbukti setelah lebih kurang 800 tahun. 
"Wahai Sultan Murad (ayahanda Sultan Muhammad Al-Fateh), bukan Tuanku yang membebaskan kota Konstantinopel, tetapi anak yang di dalam buaian itu." kata Syeikh Syamsuddin Al Wali