Apa itu Lymphoma?
Terminologi lymphoma merujuk kepada barah yang dihasilkan daripada
sistem limfatik badan. Sistem limfatik termasuk noda limfa (juga
dikenali sebagai kelenjar limfa), thymus, limpa, tonsil, adenoids dan
sum-sum tulang serta saluran yang menghubungi dipanggil limfatik atau
saluran limfa. Walaupun banyak jenis barah yang akhirnya merebak ke
bahagian sistem limfa, lymphoma adalah yang paling ketara kerana ianya
berasal daripada tempat tersebut.
Dalam lymphoma, sebahagian sel dalam sistem limfatik ini yang dikenali
sebagai limfosit, membiak tanpa kawalan. Lymphoma yang berlainan
dikategori mengikut jenis sel yang merebak dan gejala yang ditunjukkan.
15% barah daripada kalangan kanak-kanak adalah lymphoma. Ianya jarang
terdapat dikalangan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun. Kanak-kanak
lelaki lebih cenderung mendapat penyakit ini daripada kanak-kanak
perempuan.
Apakah jenis Lymphoma?
Lymphoma dibahagikan kepada 2 kategori, bergantung kepada bentuk sel
barah. Ianya dikenali sebagai Hodgkin's Lymphoma (HL) atau Hodgkin
Disease (HD) dan non-Hodgkin Lymphoma (NHL).
Gabungan kedua-dua barah ini menjadikannya penyakit barah ke 3 dikalangan kanak-kanak.
- Hodgkin's Lymphoma, dinamakan sempena Thomas Hodgkin, seorang Pakar Perubatan berbangsa Inggeris yang pertama menerangkan mengenai penyakit tersebut pada tahun 1832. Jenis ini biasa terdapat pada kanak-kanak lebih tua atau remaja. Ianya jarang berlaku pada kanak-kanak kurang daripada 5 tahun. Lymphoma jenis ini di definisikan dengan kehadiran sel barah yang spesifik, yang dipanggil sel Reed-Sternberg, di dalam noda limfa atau organ yang terlibat.
- Non-Hodgkin's Lymphoma. Nama ini di gunakan untuk semua bentuk limfoma lain. Insiden Non Hodgkin Lymphoma meningkat daripada umur kanak-kanak hingga remaja. Dalam non-Hodgkin's Lymphoma terdapat pertumbuhan sel limfosit yang spesifik (iaitu sejenis sel darah putih yang terdapat di kelenjar limfa). Pertumbuhan sel limfosit malignant ini juga dilihat dalam barah darah Leukemia ( ALL), yang kadang-kala menyebabkan kesukaran membezakan antara Lymphoma dan Leukemia dikalangan kanak-kanak. Secara umumnya, bagi pesakit yang menghidap limfoma, tiada penglibatan sum-sum tulang atau penglibatan minima, sementara bagi pesakit Leukemia penglibatan sum-sum tulang adalah secara meluas.
Kedua-dua jenis ini terjadi daripada sistem limfa,tetapi berbeza
daripada segi kesan terhadap badan, cara penyebaran serta tindak balas
terhadap rawatan.
Hodgkin dan limfoma bukan Hodgkin seterusnya dibahagikan kepada
sub-jenis berdasarkan kepada jenis spesifik sel yang terjejas, tahap
kematangan yang dicapai oleh sel-sel dan penampilan mereka di bawah
mikroskop. Sub-jenis ini boleh membantu doktor menentukan rawatan yang
paling berkesan.
Apakah faktor risiko Lymphoma di kalangan kanak-kanak?
Punca sebenar Lymphoma dikalangan kanak-kanak tidak diketahui. Walau
bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada
seseorang untuk mendapat Lymphoma. Kebanyakan kanak-kanak yang mendapat
barah ini tidak diketahui faktor risikonya.
Kanak-kanak berisiko tinggi mendapat non-Hodgkins Lymphoma jika mereka mempunyai salah satu seperti di bawah:
- - Mempunyai kecacatan semula jadi di dalam sistem imuniti.
- - Mereka telah menjalani pemindahan organ dan bergantung kepada ubat-ubatan yang melemahkan sistem imuniti.
- - Mereka dijangkiti oleh Human Immunodeficiency Virus (HIV).
- - Mereka pernah terdedah kepada radiasi seperti kejadian kemalangan Reaktor Nuklear.
- - Mereka pernah mendapat penyakit barah yang lain di masa silam dan telah dirawat dengan radioterapi atau kemoterapi.
Dalam kebanyakan kes, tiada siapa yang dapat mengawal faktor yang
menyebabkan Lymphoma terjadi. Kebanyakan Lymphoma terjadi daripada
mutasi yang tidak diwarisi di dalam gen semasa pembentukan sel darah.
Pemeriksaan secara berkala dikalangan kanak-kanak kadang-kala boleh
mengesan simptom awal Lymphoma di dalam kes yang dikaitkan dengan
masalah imuniti yang diwarisi, jangkitan HIV, kesan daripada rawatan
barah atau rawatan pengubatan immuno suppressive untuk pemindahan organ.
Apakah tanda-tanda Lymphoma?
Tanda-tanda Lymphoma mungkin sama dengan penyakit lain yang bukan barah.
Oleh itu ia sangat penting untuk anda berjumpa doktor jika anak anda
mempunyai tanda-tanda yang membimbangkan.
Di bawah adalah tanda-tanda yang mungkin ada pada Lymphoma:
- - Noda limfa yang terletak di permukaan biasanya tidak sakit, oleh itu ia terus membesar tanpa disedari.
- - Pembesaran thymus atau noda limfa di dada boleh menekan saluran udara menyebabkan pernafasan berbunyi, berdengkur, sesak nafas atau kesukaran pernafasan.
- - Ianya juga boleh menyempitkan salur darah utama yang menyalurkan darah dari kepala dan leher menyebabkan pembengkakan muka, leher, bahagian atas lengan dan dada.
- - Kesukaran untuk menelan.
- - Pembengkakan nodus limfa di dalam abdomen boleh menyebabkan kembung dan ketidak selesaan. Ianya juga boleh menyekat saluran najis dan menyebabkan sembelit, loya dan muntah.
- - Demam, hilang berat badan atau berpeluh pada waktu malam, kadang-kala dipanggil simptom B.
- - Kegatalan kulit dalam kes-kes Hodgkin's Lymphoma.
Tanda non-Hodgkin's Lymphoma terjadi dengan cepat, kadang-kala dalam
masa beberapa hari atau minggu sebelum ianya dikenal pasti. Sesetengah
jenis non-Hodgkin's Lymphoma terjadi secara perlahan dalam beberapa
bulan.
Bagi Hodgkin's Lymphoma, biasanya berlaku dalam jangka masa panjang, dan
secara perlahan. Pembengkakan dan tanda boleh kelihatan sehingga
setahun sebelum penyakit dapat dikesan dan kanak-kanak tersebut boleh
kelihatan seperti normal. Walau bagaimanapun tanda B pada amnya merebak
dengan cepat dan boleh dikesan dalam tempoh masa beberapa bulan penyakit
dikenalpasti/disahkan.
Bagaimana untuk mengesahkan Lymphoma?
Doktor akan bertanya apa yang membimbangkan dan tanda-tanda yang
ditunjukkan oleh anak anda, sejarah kesihatan yang lalu, sejarah
kesihatan ahli keluarga, ubat yang diambil oleh anak anda, sebarang
alahan, atau isu-isu lain yang dipanggil sejarah perubatan lalu. Doktor
akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda Lymphoma.
Kadang-kala, apabila kanak-kanak dikesan mempunyai nodus limfa yang
membengkak tanpa sebab, doktor akan memantau nodus tersebut secara
teliti untuk memastikan sama ada ianya akan terus membesar.
Doktor juga akan memberi ubat antibiotik kerana pembesaran mungkin
disebabkan oleh jangkitan bakteria. Jika nodus limfa terus membesar atau
jika doktor mengesyaki ianya Lymphoma langkah seterusnya adalah
melakukan biopsi. Ini akan melibatkan pengambilan sedikit tisu atau
kadang-kala keseluruhan nodus limfa tersebut.
Bergantung kepada lokasi tisu yang akan disampel, biopsi mungkin
dijalankan dengan menggunakan jarum halus berongga (dikenali sebagai
jarum aspirasi) atau insisi pembedahan kecil yang dibuat di bawah bius
setempat (kulit di sekitar tapak biopsi akan dibius). Kadang-kala biopsi
mungkin perlu dilakukan dengan melalui pembedahan besar di bawah bius
am. Keadaan ini dilakukan dalam kes biopsi “excisional” di mana
keseluruhan nodus limfa yang besar atau nodus limfa yang berkaitan
dibuang.
Tisu ini akan diperiksa oleh Pakar Patologi untuk menentukan jenis
limfoma yang spesifik. Selain daripada ujian asas makmal, ujian yang
lebih canggih juga dilakukan termasuk kajian genetik untuk menentukan
jenis-jenis spesifik Lymphoma itu.
Anak anda juga perlu menjalani kajian imbasan seperti X-ray dada, CT
scan, MRI, gallium scan untuk melihat gambaran di dalam tubuh. Setelah
penyakit disahkan, doktor mungkin juga akan menjalankan ujian yang lain
untuk mengesan sama ada Lymphoma ini telah merebak ke kawasan lain. Ini
dapat membantu mengesan tahap barah tersebut di mana ianya sangat
penting untuk merancang perawatan. Ujian sampingan termasuk:
- - Pengiraan darah secara menyeluruh.
- - Kimia darah, termasuk ujian hati dan fungsi buah pinggang.
- - Aspirasi/sedutan atau biopsi sum-sum tulang untuk melihat sekiranya Lymphoma telah merebak ke sum-sum tulang.
- - Pengambilan cecair dari saraf tunjang untuk mengesan sama ada barah telah merebak ke sistem ini. Ia cuma dilakukan dalam kes non Hodgkin's Lymphoma sahaja.
Bagaimana untuk merawat Lymphoma?
Rawatan untuk Lymphoma dikalangan kanak-kanak bergantung kepada tahap barah tersebut.
Menentukan tahap barah adalah cara untuk mengklasifikasikan pesakit
mengikut tahap keterukan penyakit tersebut semasa di diagnosis
(diagnosis).
Terdapat empat tahap Lymphoma, bermula dari tahap I (kanser yang
melibatkan hanya satu kawasan nodus limfa atau satu organ di luar nodus
limfa) hingga tahap IV (kanser telah merebak, atau metastasis, kepada
satu atau lebih tisu atau organ di luar limfa sistem). Penentuan tahap
pada waktu penyakit di diagnosis boleh membantu pakar profesional
perubatan dalam membuat keputusan mengenai terapi dan membantu doktor
meramal peluang seseorang yang mempunyai limfoma untuk pulih dalam
jangka panjang.
Kemoterapi (penggunaan dadah perubatan yang sangat mujarab untuk
membunuh sel barah) adalah rawatan utama yang digunakan. Ini adalah
bentuk yang paling penting dalam rawatan limfoma bukan Hodgkin. Ia
biasanya melibatkan penggunaan kombinasi beberapa ubat-ubatan dan
rawatan boleh mengambil masa beberapa bulan. Limfoma Hodgkin dikalangan
kanak-kanak biasanya dirawat dengan kemoterapi. Kadang-kala radioterapi
(penggunaan sinaran bertenaga tinggi untuk mengecutkan tumor dan
mencegah sel-sel kanser daripada berkembang) digunakan dalam
situasi-situasi khas.
Adakah peluang untuk sembuh?
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sama ada penyakit Hodgkin atau NHL
boleh sembuh, bererti mereka bebas daripada barah selama lebih dari 5
tahun.
Lebih kurang 90% kanak-kanak yang mengalami penyakit Hodgkin akan sembuh
sepenuhnya (di mana tiada lagi sel barah di dalam badan) setelah
menjalani kemoterapi. Penyembuhan dalam masa yang panjang (bebas dari
penyakit selama 5 tahun atau lebih) dapat dicapai pada semua pesakit
tahap satu atau tahap 2 dan sehingga 90% pada pesakit tahap 3, dan lebih
daripada 60% bagi mereka yang tahap 4.
Bagi kanak-kanak yang menhidap NHL, peluang sembuh sepenuhnya adalah
kira-kira 90% bagi mereka yang mempunyai tahap I atau tahap II pada masa
diagnosis, dan hampir 70% untuk mereka yang berada pada tahap III atau
IV.
Walaupun
kebanyakan kanak-kanak bertindak balas dengan baik terhadap rawatan,
sebahagian kecil daripada mereka akan mengalami penyakit yang berulang
(relapse) akibat alahan sel barah ini terhadap rawatan yang telah
diberikan. Bagi kanak-kanak ini, dos ubat kemoterapi yang tinggi diikuti
dengan pemindahan sum-sum tulang atau pemindahan sel stem merupakan
satu pilihan rawatan.
Copy dari sini. Kredit to this blog:
http://misscities12.blogspot.my/2015/05/kanser-limfoma-tahap-4_23.html